Sponsor

Friday, September 14, 2012

Kebaikan Susu Ibu @ Kosmo

Bayi lebih sihat dan cerdik




JIKA dilihat 10 tahun lalu, tidak ramai ibu-ibu yang mahu menyusukan bayi mereka dengan alasan yang tertentu. Antara alasan yang popular ialah takut gemuk dan khuatir bentuk payudara ‘jatuh’.
Menyusukan bayi di tempat-tempat awam juga jarang sekali dilakukan para ibu dek khuatir dan malu sekiranya ada mata-mata nakal mencuri pandang saat baju diselak untuk tujuan itu.

Kini, senarionya ternyata berbeza sama sekali. Ramai ibu-ibu yang mula sedar betapa pentingnya memberikan susu badan kepada bayi. Soal malu ditolak tepi.
Jika dulu, ibu yang baru melahirkan bayi hanya memberikan susu badan dalam tempoh berpantang dan berhenti apabila mula bekerja, kini, pemberian susu badan diteruskan kerana mereka mengepam susu di pejabat bagi memastikan stok susu mencukupi.

“Susu ibu sangat baik untuk bayi dan ia juga memberikan faedah buat ibu serta keluarga. Susu ibu merupakan makanan terbaik dan terunggul dicipta khas untuk bayi.
“Semua haiwan menyusukan anak mereka dengan susu sendiri. Bayi manusia juga sepatutnya disusukan dengan susu ibu sendiri kerana apa yang bayi perlukan terkandung dalam susu ibu,” kata Timbalan Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (II) Hospital Kuala Lumpur, Dr. Noor Haliza Yusoff.
Tambahnya, berbanding susu formula yang diperbuat daripada susu lembu, komposisi zatnya sama sekali tidak sama walaupun ada pihak yang mendakwa ia lebih kurang sama dengan susu ibu.

“Tiada susu formula yang boleh menyerupai susu ibu. Itu keajaiban susu ibu dan ia dinamik. Komposisi zat yang terkandung dalam susu ibu pada waktu pagi, tengah hari dan malam adalah berlainan.
“Ia memenuhi keperluan zat seiring usia bayi. Sebagai contoh, susu yang keluar pada usia bayi sehari lebih banyak kandungan lemak,” ujarnya.

Banyak kebaikan diperoleh oleh bayi yang diberikan susu ibu. Bayi akan mendapat semua zat makanan yang diperlukan, terhindar daripada jangkitan-jangkitan penyakit seperti cirit-birit berbanding susu formula yang mendedahkan mereka dengan risiko masalah itu kerana air dan botol yang tidak bersih.
Selain itu, susu ibu juga mengandungi antibodi-antibodi untuk mengelak dan mencegah jangkitan respiratori (pernafasan) dan jangkitan telinga, malah kesan daripada zat-zat yang diperoleh daripada susu ibu dapat mengelakkan kesan jangka masa panjang dari segi obesiti, darah tinggi dan diabetes.



NOOR HALIZA (kiri) menunjukkan teknik penyusuan yang betul kepada Siti Nor Adilla, 31, sambil diperhatikan oleh suaminya.



Perkembangan otak

Noor Haliza juga memberitahu bahawa kandungan susu ibu juga dapat membantu perkembangan otak bayi agar menjadi cerdik dan cerdas.
Walaupun banyak susu formula mengandungi bahan yang dikatakan dapat merangsang sel-sel otak, kita tidak tahu sama ada bahan itu dapat memberi kesan yang sama seperti apa yang terdapat dalam susu ibu.
“Pemberian susu ibu juga boleh mengelakkan bayi kembung perut. Di sebalik semua kebaikan ia juga akan mengeratkan ikatan kasih ibu dan bayi.

“Penyusuan badan juga dapat mempercepatkan pengecutan rahim selepas bersalin. Secara tidak langsung, si ibu kurang mendapat masalah pendarahan selain tubuh akan cepat kembali ke bentuk asal,” jelasnya sambil memberitahu ia dapat mengurangkan risiko barah payudara, ovari, rahim dan osteoporosis.
Selain itu, penyusuan ibu dapat membantu ekonomi keluarga kerana tidak perlu membeli susu formula yang mahal harganya.

Ia juga dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar dan si ibu tidak perlu mengambil cuti kecemasan dengan kerap kerana si anak berada dalam keadaan sihat.
Mengulas mengenai mitos badan menjadi gemuk jika menyusu badan, Noor Haliza memberitahu bahawa mitos tersebut tidak benar sama sekali.
Jika berikan susu ibu, badan lebih cepat kembali ke bentuk asal kerana sentiasa mengeluarkan lemak melalui susu dan dibakar ketika proses menyusu.

“Semua orang fikir bahawa menyusu badan itu sesuatu yang semula jadi dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, tetapi ia bukan sesuatu yang mudah.
“Ia satu kemahiran yang telah dilupakan dan perlu dipelajari semula kerana ramai yang sudah terbiasa memberikan botol dan menganggap menyusu badan itu tidak penting. Kita terpaksa ajar ibu-ibu cara menyusu badan dengan betul supaya ia menjadi satu penyusuan yang efektif,” katanya.
Penyusuan berjaya
Kegagalan memberikan penyusuan efektif menyebabkan bayi tidak dapat membesar dengan baik dan mungkin susu ibu pula yang dipersalahkan.

Penyusuan tidak efektif dan ditambah pula dengan teknik yang tidak betul menyebabkan luka puting, bengkak susu dan sebagainya membuatkan sesetengah ibu serik untuk memberikan susu badan.
Lantaran itu, semua hospital kerajaan kini ialah hospital rakan bayi sejak tahun 1992 yang mengamalkan 10 langkah ke arah penyusuan ibu berjaya.
“Mula-mula kita ajar dengan satu polisi iaitu semua bayi perlu diberikan susu ibu sejak lahir hingga enam bulan secara eksklusif.

“Selepas enam bulan, kita sarankan ibu memberikan makanan pelengkap tanpa menghentikan penyusuan kerana selepas enam bulan, pemberian susu sahaja tidak cukup,” katanya.
Ujarnya, kebaikan susu ibu perlu dijelaskan kepada para ibu. Selepas sahaja bayi dilahirkan, bayi terus diberikan kepada ibu tanpa dimandikan terlebih dahulu kerana pengenalan pertama itu penting bagi interaksi awal.

Apabila sudah ada stimulasi pada ibu dan bayi, senang untuk memulakan dan meneruskan penyusuan.
“Bayi boleh ‘meneroka’ tubuh ibu untuk mencari payudara. Jika bayi tidak hisap tidak mengapa. Kalau hisap, bagus. Selepas bayi dimandikan, barulah si ibu diajar untuk menyusu.
Tambah Noor Haliza, menyusu badan perlu ada tekniknya. Badan bayi perlu lurus, rapat dengan ibu, mukanya menghadap payudara. Jika bayi tidak hisap, kemungkinan dia dalam keadaan tidak selesa,” ujarnya.



KINI, ibu yang bekerja juga mahu memberikan susu badan secara eksklusif kepada bayi mereka dengan memerah susu badan bagi memastikan stok susu mencukupi. - Gambar hiasan


Cara ideal

Katanya lagi, ada tanda-tanda menunjukkan bayi bersedia untuk menyusu. Apabila bayi berada dalam posisi menyusu, mulutnya akan terbuka luas dan barulah ia diberikan susu.
Mulut bayi perlu masuk dalam semua kawasan areola (kawasan hitam payudara) dan bukannya hisap puting sahaja yang akhirnya menyebabkan luka puting.
“Ada juga sesetengah ibu masih tidak mahu memberikan susu badan selepas kita menerangkan tentang kebaikan susu ibu kerana takut bentuk payudaranya tidak cantik dan suami tidak benarkan.
“Saya rasa ia satu kerugian. Bayi ada hak untuk mendapat yang terbaik. Sudahlah dia tidak dapat apa yang diciptakan untuknya, kita berikan pula susu haiwan seterusnya mendedahkannya kepada risiko jangkitan,” katanya.

Sesetengah ibu pula cuba memberikan susu badan tetapi ditolak beberapa kali oleh bayi. Akhirnya, ibu tersebut putus asa dan mengambil keputusan memerah susu kemudian memberikannya melalui botol.
Antara sebab penolakan tersebut adalah kerana bayi mereka mengalami keliru puting (akibat pemberian susu melalui botol). Pengalaman si bayi menyusu terus dari payudara dan botol adalah sangat berbeza.
“Jika demikian, jangan berikan susu dengan botol dan ajar bayi minum dengan cawan sedikit demi sedikit. Dengan kedudukan 45 darjah, bayi akan minum seperti kucing dan lama-kelamaan apabila sudah biasa, dia akan dapat minum susu dengan banyak.

Noor Haliza mengesyorkan para ibu agar merancang jadual penyusuan dua minggu sebelum kembali bekerja. Susu perlu diperah dalam tempoh berpantang selepas bayi selesai menyusu bagi memastikan stok mencukupi.
Apabila susu kerap diperah, lebih banyak susu dihasilkan. Sungguhpun begitu, apabila si ibu letih, sedih, marah dan stres ia mempengaruhi penghasilan hormon oksitosin yang menyebabkan pengeluaran susu terhenti.
Bagi melancarkan pengeluaran oksitosin, ibu perlu duduk di tempat yang sunyi, lihat gambar bayi dan mendengar muzik-muzik lembut. Keadaan tersebut membolehkan susu keluar.

“Jangan putus asa. Jika mempunyai masalah penyusuan, jangan segan untuk berjumpa dengan pakar laktasi, doktor dan jururawat di hospital kerana mereka akan memberikan bantuan,” ujarnya sambil berpesan supaya para ibu tidak terpengaruh dengan iklan-iklan susu formula di televisyen.

No comments: